Secara ringkas tujuan penubuhan Pribumi Perkasa ialah untuk menyediakan landasan bagi kaum peribumi untuk menegakkan hak2 mereka tanpa mengira fahaman politik. Perkasa akan bertindak sebagai badan berkecuali untuk menangani isu2 semasa yang membabitkan pribumi dan orang Melayu seperti Perkara 153 dan lain-lain yang telah tertulis di dalam perlembagaan.

Tuesday, January 28, 2014

Perkasa: Wujudkan undang-undang larang calon terlibat kes mahkamah tanding pilihan raya

 OLEH HASBULLAH AWANG CHIK, Malaysian Insider January 28, 2014
 
visual : MI

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menghalang calon yang masih menghadapi tuduhan di mahkamah bertanding dalam pilihan raya. 

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata jika seseorang calon itu didapati bersalah oleh mahkamah, satu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dan ia merupakan satu pembaziran dan penghinaan kepada rakyat.

“Memang seseorang tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman tetapi jika akhirnya pihak terlibat didapati bersalah yang menyebabkan gugur status ahli dewan, maka PRK terpaksa diadakan dan ia merupakan satu pembaziran kepada wang rakyat.

“Rakyat sesebuah negeri tentu berasa malu apabila pemimpinnya sedang didakwa, apatah lagi jika kes jenayah besar seperti rasuah, liwat dan juga merupakan bekas banduan yang bertahun ditahan di penjara,” katanya dalam satu pesanan ringkas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang setelah penyandangnya Lee Chin Cheh menghantar notis untuk mengundur diri sebagai Adun semalam.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan 11 Februari bagi mendengar semula rayuan Anwar menolak peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan bagi menyemak semula keputusan pembebasan Anwar dalam tuduhan liwat kedua.

Anwar, 66, dijangka akan hadir ke mahkamah sewaktu kempen pilihan raya DUN Kajang sedang berlangsung.

Ibrahim berkata jika pihak yang masih menghadapi pertuduhan di mahkamah diangkat sebagai calon, ia melambangkan sesebuah parti itu sudah tidak mempunyai calon lain yang lebih layak.

“Lebih-lebih lagi kalau salahguna kuasa, lengahkan bicara dan macam-macam hal. Ianya juga menggambarkan macam tidak ada orang lain yang layak.

“Ini satu penghinaan moral kepada rakyat. Maka wajar satu akta yang terperinci mesti diwujudkan dengan mengambil kira semua aspek dalam hal perjawatan,” katanya yang kini berada di Mekah. – 28 Januari, 2014.

Denda murid ibarat lembu, Perkasa desak guru lelaki dipecat.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kementerian Pendidikan supaya memecat seorang guru lelaki yang mendenda anak muridnya seperti seekor lembu kerana tidak menyiapkan tugasan sekolah.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata walaupun guru berusia 26 tahun itu telah ditukarkan ke sekolah lain dan meminta maaf terhadap insiden itu, namun ia tidak memadai.

"Perbuatan guru itu sangat biadap dan tidak layak digelar warga pendidik kerana melakukan perbuatan sedemikian.

"Guru itu seharusnya adil dan saksama dalam mengenakan hukuman terhadap murid-muridnya dan tidak memilih bulu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata walaupun guru itu telah bertukar di sekolah lain, dikhuatiri perbuatan yang sama akan berulang.

Perkasa turut menyerahkan video rakaman percakapan mangsa denda guru itu, yang menceritakan bagaimana perbuatan itu diperlakukan terhadap mereka, kepada polis untuk disiasat.

Pada Khamis lepas, empat murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Meng, Sungkai, Perak, gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru Bahasa Inggeris mereka.

Sebagai hukuman, guru itu menggantung loceng di leher Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd Izat Iqbal Mohd Harith masing-masing, 10, serta memaksa mereka memakan rumput manakala dua lagi murid tidak didenda dan difahamkan mereka tidak sihat serta mempunyai surat doktor.

Di Kuala Terengganu, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) melahirkan rasa tidak puas hati kerana guru terbabit hanya ditukarkan ke sekolah yang jaraknya hanya sekitar 35 kilometer dari sekolah asal.

Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad berkata Gagasan berpendapat tindakan itu tidak memadai dan tidak berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan.

Sepatutnya, kata beliau, guru berkenaan ditukarkan ke pedalaman sebagai pengajaran dan ingatan agar insiden itu tidak berulang.
"Ini kerana jelas dia telah merosakkan profesion perguruan, meninggalkan kesan psikologi terhadap kedua-dua murid terbabit dan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini," kata Syed Anuar.

Beliau berkata adalah lebih baik guru-guru yang produktif, berwibawa dan komited terhadap profesion perguruan yang kini masih banyak terdapat di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung ditukarkan serta diganti dengan guru bermasalah seperti itu.

"Gagasan juga meminta bukan hanya murid terbabit dikenakan khidmat kaunseling, tetapi guru terbabit juga sepatutnya diberi kaunseling dan dikuarantin di Pejabat Pendidikan Daerah sebelum ditukarkan ke sekolah lain," katanya. – Bernama, 28 Januari, 2014.